Panduan Pelajar

Gagal SPM? Langkah & Pilihan Seterusnya

Gagal SPM bukan akhir jalan. Ketahui cara semak semula keputusan, ulang SPM melalui SPMU, ambil kursus sijil, pra-diploma, TVET atau terus bekerja.

Gagal SPM? Langkah & Pilihan Seterusnya

Bayangkan jika pelajar nampak gred Gagal dalam sijil SPM nanti. Semestinya pelajar akan rasa yang rancangan hidup akan tergendala. Apakah akan jadi kepada pelan sambung belajar? Bagaimanakah pelajar dapat teruskan pelajaran ke kolej atau universiti? Sebelum panik dan mulakan rancangan persaraan pada umur 17 tahun, pelajar patut tahu tentang langkah seterusnya yang sedia ada bagi pelajar yang gagal SPM.

Secara keseluruhannya, pelajar boleh mengulangi ujian bagi mata pelajaran yang gagal, menerokai kursus pengajian dengan syarat kemasukan rendah, ataupun fokus pada program TVET. Jika pilihan untuk menyambung pelajaran bukan matlamat pelajar, pilihan untuk terus memulakan kerjaya juga boleh dipertimbangkan.

Mula-mula, apakah yang patut pelajar lakukan sekiranya gagal SPM?

Kenal Pasti Mata Pelajaran SPM Yang Gagal

Bergantung kepada mata pelajaran yang gagal, kegagalan ini akan mempengaruhi masa depan pelajar, sama ada pengaruh pada kelayakan memohon kursus pengajian tinggi, ataupun kelayakan mendapat sijil SPM.

Pecahan gred SPM daripada Cemerlang hingga Gagal
Gred ‘G’ ataupun Gagal ialah satu-satunya gred gagal dalam sijil SPM. Walaupun Gred ‘E’ termasuk dalam kategori ‘lulus’, institusi pengajian tinggi biasanya menetapkan syarat kemasukan minima pada Gred ‘C’ - Kepujian. Gambar dari eCentral.

Bahasa Melayu dan Sejarah (Wajib Lulus)

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai mata pelajaran yang wajib lulus. Sekiranya pelajar gagal dalam salah satu atau kedua-dua mata pelajaran tersebut, pelajar dikira tidak layak mendapat sijil SPM. Tanpa sijil SPM, pelajar tidak memenuhi syarat memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu sekurang-kurangnya Lulus kedua-dua mata pelajaran dan gred Kepujian dalam BM.

Syarat ini juga digunakan dalam kelayakan menjadi penjawat awam. Jawatan peringkat permulaan menetapkan syarat wajib lulus dan mendapatkan sijil SPM. Jika calon tidak mempunyai sijil SPM, permohonan mereka tidak akan dipertimbangkan.

Matematik, Sains, Bidang Kemanusiaan, Bidang Teknikal dan Lain-lain

Gagal dalam mata pelajaran elektif tidak membatalkan kelayakan pelajar untuk mendapat sijil SPM selagi pelajar lulus BM dan Sejarah. Namun, kebanyakan kursus diploma mempunyai syarat kemasukan 3 gred C - Kepujian dan ke atas. Sekiranya pelajar tidak memenuhi kriteria 3C, pelajar tidak layak mendaftar bagi kursus diploma.

Bagaimana Pelajar Boleh Memperbaiki Keputusan SPM yang Kurang Memuaskan?

Apabila pelajar sudah kenal pasti mata pelajaran yang gagal atau tidak memuaskan, terdapat beberapa langkah yang boleh pelajar lalui bagi memperbaiki keputusan mata pelajaran tersebut.

Penyemakan Semula Kertas

Pelajar boleh memohon penyemakan semula kertas sekiranya tidak puas hati dengan gred yang diterima. Yuran Semak Semula Keputusan ditetapkan pada RM100 untuk satu mata pelajaran. Aplikasi semak semula perlu dikemukakan melalui portal e-Lembaga Peperiksaan sebelum tamat tempoh 30 hari dari pengumuman keputusan SPM.

Seterusnya, pemeriksa akan semak kertas jawapan untuk mengesan perkara seperti markah yang tertinggal atau kesilapan pengiraan jumlah markah. Pelajar digalakkan melalui proses ini jika kedudukan markah hampir dengan gred yang lebih tinggi.

Namun, pelajar tidak harus mengharapkan gred G akan berubah secara ajaib menjadi A+.

Langkah Melalui SPMU

SPM Ulangan (SPMU) terhad kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, dan Matematik. Sekiranya pelajar gagal satu atau lebih daripada mata pelajaran tersebut, atau ingin menyasarkan gred yang lebih tinggi daripada yang diterima pada SPM sebenar, pelajar boleh mengambil langkah ini.

Pendaftaran SPM Ulangan hanya dibuka pada waktu tertentu sahaja. Pelajar dikehendaki menyemak portal SPPAT atau platform Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut.

Ulangan SPM Sebagai Calon Persendirian

Jika pelajar ingin mengulangi ujian bagi mata pelajaran selain tiga mata pelajaran SPMU, contohnya Bahasa Inggeris, Prinsip Perakaunan, atau elektif yang lain, pelajar boleh mendaftar sebagai calon persendirian. Calon persendirian akan menduduki SPM dalam sesi ujian SPM hujung tahun.

Pengorbanan mengambil SPM sebagai calon persendirian ialah masa dan disiplin. Pelajar perlu menunggu selama setahun penuh dan membuat persediaan sendiri. Namun pelajar boleh mengambil semula seberapa banyak mata pelajaran yang diperlukan.

Yuran bagi calon SPMU serta calon persendirian bermula daripada RM20, dengan yuran tambahan RM10.50 ke RM20.50 dengan setiap tambahan mata pelajaran yang didaftarkan. Pelajar yang berminat mendaftar sebagai calon persendirian boleh mendaftar di portal SPPAT.

Maklumat pendaftaran SPM Ulangan dan calon persendirian
Tarikh pendaftaran berbeza dari tahun ke tahun. Namun, peraturan pendaftaran, yuran, serta mata pelajaran yang ditawarkan kekal dengan format standard. Sumber: PPD Dalat

Langkah Jika Tidak Mahu Mengulangi Apa-apa Kertas

Ketika pelajar menerima gred gagal dan tidak mahu mengulangi ujian lagi, terdapat pilihan jalan lain yang boleh dipertimbangkan.

Program Sijil

Jika keputusan SPM tidak memenuhi syarat tiga kepujian yang biasanya diperlukan untuk diploma, program sijil selama 1 hingga 1.5 tahun boleh menjadi laluan alternatif. Dengan hanya satu kepujian SPM, pelajar mungkin layak untuk mengikuti program Sijil di kolej komuniti serta universiti swasta seperti UNITAR dan APU.

Selesainya kursus sijil, keputusan ini boleh digunakan untuk memenuhi syarat masuk program diploma sebagai ganti keputusan SPM. Walaupun pelajar tidak meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya, sijil tersebut tetap akan dikira sebagai kelayakan yang diiktiraf dan boleh digunakan ketika memohon kerja nanti.

Kursus Pra-Diploma

Program pra-diploma ditujukan kepada pelajar yang keputusannya tidak layak masuk peringkat diploma, tidak kira sama ada pelajar tersebut tidak memenuhi kriteria mata pelajaran atau gred C ke atas tidak mencukupi. Kursus ini membantu merapatkan jurang kriteria tersebut dan berlangsung selama satu hingga dua semester, lazimnya meliputi kursus seperti STEM, Perniagaan dan Bahasa Inggeris.

Program ini ditawarkan terutamanya oleh IPTA, khususnya UiTM (di bawah inisiatif Pra Pendidikan Tinggi) dan UTHM, serta rakan kongsi kolej swasta terpilih seperti MiCoST.

TVET & Latihan Kemahiran

Bagi pelajar yang lebih minat perkara ‘hands-on’, program TVET boleh jadi sasaran. Terdapat institusi-institusi seperti ILP, IKBN dan GIATMARA yang menawarkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran. Contohnya, kemahiran automotif, kerja-kerja elektrikal, kemahiran IT, hospitaliti, dan sebagainya.

Syarat kemasukan kursus berbeza, bergantung kepada kursus yang dipilih. Terdapat juga program yang tidak memerlukan sijil SPM. Pelajar hanya perlu mempunyai kemahiran membaca, menulis, dan mengira untuk memohon masuk.

Latihan teknikal secara hands-on di bengkel GIATMARA
Syarat kemasukan GIATMARA yang rendah. Sumber: GIATMARA Pekan.

Kursus Jangka Pendek

Jika pelajar ingin membina kemahiran tanpa perlu mengikuti program sepenuh masa, kursus jangka pendek, ‘bootcamp’ dan mikro-kredensial boleh menjadi pilihan alternatif. Program-program ini merangkumi kemahiran praktikal seperti pengekodan, reka bentuk grafik, penyuntingan video dan penghasilan kandungan yang boleh masukkan ke dalam portfolio.

Terus Mulakan Kerja

Pekerjaan dalam bidang peruncitan, makanan dan minuman (F&B), khidmat pelanggan, atau logistik biasanya lebih mementingkan kemahiran komunikasi asas dan etika kerja yang baik berbanding keputusan SPM yang cemerlang. Pelajar boleh layari portal MYFutureJobs kendalian PERKESO untuk mencari kekosongan jawatan tempatan dan pameran kerjaya bagi lepasan sekolah.

Hal ini tidak bermakna pelajar tidak boleh menyambung pelajaran. Pelajar boleh bekerja untuk sementara waktu, mengumpul wang, dan kembali menyambung pengajian pada masa hadapan sekiranya membuat keputusan untuk berbuat demikian.

Namun, menentukan langkah seterusnya hanyalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi.

Satu lagi cabaran ialah menangani tekanan akibat kegagalan dan keputusan yang kurang memuaskan.

Cara Menangani Kegagalan

Menerima keputusan buruk yang tidak dijangka boleh menimbulkan rasa sakit hati, lebih-lebih lagi kerana kepentingan SPM sudah berkali-kali ditekankan sepanjang masa persekolahan. Pelajar mungkin rasa malu, kecewa, marah atau tidak pasti apa yang patut dilakukan.

Pelajar tidak perlu mempunyai semua jawapan dengan serta-merta. Luangkan masa untuk meneliti hasilnya sebelum membuat sebarang keputusan besar.

Sekiranya rasa resah timbul akibat menunggu reaksi ibu bapa, pelajar boleh bersiap sediakan perspektif baru sebelum memberitahu mereka berita ini. Ibu bapa juga risaukan impak keputusan SPM atas masa depan anak-anak. Dengan maklumat baru tentang hala tuju alternatif seperti SPMU dan kursus pra-diploma, pelajar boleh mengurangkan kerisauan ibu bapa.

Selain keluarga, perbandingan bersama rakan sebaya mungkin akan menimbulkan kegelisahan dalam pelajar. Pelajar tidak digalakkan untuk membandingkan diri dengan orang lain. Setiap individu mempunyai hala tuju dan garis masa hidup masing-masing. Tiada hadiah menjadi orang pertama yang mulakan fasa hidup seterusnya. Yang pentingnya pelajar tidak terburu-buru mengambil keputusan yang tidak pasti sama adanya keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.

Tentukan matlamat diri, dan hasilkan pelan individu menggunakan soalan-soalan berikut:

  • Apakah yang ingin saya pelajari?
  • Apakah syarat kemasukannya?
  • Syarat manakah belum dipenuhi?
  • Apakah cara paling mudah & realistik untuk mencapainya?

Apabila pelajar menguraikannya seperti itu, rancangan menjadi lebih mudah diurus.

Sekiranya keputusan SPM masih menimbulkan keresahan dalam diri pelajar, sila hubungi seseorang yang anda percayai untuk mendapatkan sokongan. Jika lebih senang hati bercakap dengan seseorang di luar lingkungan sosial biasa, pelajar boleh menghubungi Talian HEAL, Befrienders KL atau Talian Kasih.

Direktori talian bantuan kesihatan mental di Malaysia
Sumber: MIASA Malaysia

Jangan jadikan kegagalan ini sebagai penghalang kepada masa depan. Terdapat pelbagai cara untuk meneruskan pembelajaran, banyak perkara yang berbaloi untuk dipelajari, dan lebih daripada satu jalan untuk mencapai matlamat. Pelajar hanya perlu memberi peluang kepada diri sendiri untuk mengenal pasti perkara yang diminati dan bidang yang sesuai.