Panduan Pelajar

Baru Habis SPM? Apa Nak Buat Sementara Tunggu Keputusan

Baru habis SPM? Manfaatkan masa menunggu keputusan dengan kerja sambilan, kemahiran baru atau sukarela, dan terokai laluan seperti matrikulasi, STPM dan TVET.

Baru Habis SPM? Apa Nak Buat Sementara Tunggu Keputusan

Ujian SPM sudah selesai dan para pelajar kini boleh menarik nafas lega.

Tempoh peperiksaan SPM biasanya terletak pada bulan Oktober sehingga Disember. Sebaliknya, pengumuman keputusan jatuh pada tarikh terpilih pada tahun berikutnya, biasanya pada bulan Mac. Hal ini memberikan pelajar tempoh masa lapang yang panjang sementara menunggu keputusan SPM.

Apa patut pelajar buat dalam tempoh masa tersebut? Tepuk dada tanya selera, terdapat pelbagai pilihan yang boleh pelajar pertimbangkan. Sebagai contoh, pelajar boleh mengambil masa ini untuk bekerja sambilan, menerokai kemahiran baru, ataupun teruskan pengajian ke peringkat pra-universiti.

Jangan Bazir Masa Lapang Semasa Menunggu Keputusan!

Sebelum mulakan penerokaan haluan masa depan, marilah menyambut kejayaan besar anda iaitu, melengkapkan sebelas tahun persekolahan! Pelajar harus mengambil masa ini untuk berehat, sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu untuk memulihkan tenaga selepas dua tahun bekerja keras untuk menduduki ujian SPM.

Selepas sedia bergerak lagi, pelajar boleh mula merancang aktiviti-aktiviti yang boleh dibuat semasa menunggu keputusan peperiksaan. Ada sampai tiga bulan yang boleh diisi dengan mana-mana aktiviti yang boleh disertai, hobi yang ingin dicuba, kemahiran baru yang boleh dipelajari dan sebagainya.

Semasa masih di sekolah, mungkin pelajar tiada masa lapang sebegitu lama untuk menerokai semua pilihan ini. Namun sekarang tibalah masanya untuk mencuba.

Kerja Sambilan

Pertama sekali, jika pelajar berminat mendapatkan wang dan pengalaman bekerja, pelajar boleh mengambil kerja sambilan dalam masa lapang ini. Sebagai pelajar yang baru habis SPM, pelajar umur 17 perlu memperhatikan had waktu bekerja dan jenis kerja yang boleh pelajar memohon untuk golongan bawah umur. Namun, syarat tersebut tidak memberi kesan kepada yang berumur 18-tahun ke atas.

Had waktu bekerja untuk pekerja sambilan remaja di Malaysia

Bidang perniagaan runcit, makanan dan minuman, dan pengurusan acara adalah antara bidang yang sering mengupah pelajar lepasan sekolah. Pelajar boleh mendapatkan kerja sebagai kru dalam bidang tersebut.

Gaji minimum di Malaysia ialah RM1,700 sebulan (pada masa artikel ini ditulis) atau RM8.72 sejam. Walaupun, tidak salah duit poket tambahan dijadikan motivasi terbesar untuk bekerja, tetapi jangan mengetepikan satu lagi faedah kerja sambilan–pengalaman ini dapat memanfaatkan permohonan ke universiti dan biasiswa pelajar nanti.

Kemahiran Baru

Memandangkan SPM sudah selesai, pelajar boleh menumpukan perhatian kepada perkara yang lain yang telah diketepikan demi pelajaran. Misalnya, kemahiran praktikal baru seperti memasak, mempelajari bahasa baharu, kemahiran memandu, dan sebagainya.

Selain itu, pelajar boleh menerokai kemahiran yang akan menyumbang kepada kerjaya masa depan, seperti penyuntingan video dan pengekodan. Kemungkinannya pelajar akan menemui minat yang baru dalam semua aktiviti ini dan membina portfolio tersendiri!

Terokai Peluang Baru Sebelum Menjadikannya Komitmen

Terdapat segelintir pelajar yang sudah tahu hala tuju mereka pada umur 17-tahun. Namun, kalau anda antara pelajar yang masih mencari hala tuju tersendiri, inilah masa yang sesuai untuk menerokai kepelbagaian pilihan yang sedia ada.

Berbincanglah dengan individu yang bekerja dalam bidang-bidang tersebut, lihat sama ada anda boleh mengikuti seseorang untuk memerhatikan kerja mereka, atau cuba beberapa penilaian minat kerjaya percuma secara dalam talian.

Ujian minat kerjaya RIASEC yang memadankan personaliti dengan kerjaya

Kerja-kerja Sukarela

Melibatkan diri dalam kerja sukarela merupakan cara yang baik untuk mempelbagaikan rutin harian anda. Misalnya, menjadi tutor kepada junior-junior anda, membantu di pusat perlindungan haiwan, melibatkan diri dalam projek komuniti ataupun membantu dapur amal. Pengalaman berbeza ini membuka peluang untuk pelajar bertemu dengan ramai individu berbeza dan melihat gaya hidup berbeza yang tidak didapati dalam kawasan sekolah.

Mulakan Pengajian Tinggi

Sudah tahu bidang yang ingin dipelajari? Pelajar tidak perlu menghabiskan masa dengan sia-sia. Sesetengah universiti swasta, seperti Universiti Multimedia (MMU), menawarkan kemasukan awal, sebelum keputusan sebenar SPM keluar. Pelajar boleh membuat permohonan menggunakan keputusan percubaan atau keputusan ramalan, dan menyerahkan keputusan SPM sebenar anda kemudian. Peraturan mungkin berbeza antara universiti dan program, jadi sila semak terus dengan institusi berkenaan jika anda berminat untuk memulakan langkah lebih awal.

Permohonan biasiswa Universiti Taylor's menggunakan keputusan ramalan SPM
Terdapat juga peluang bagi pelajar memohon biasiswa dengan keputusan ramalan, contohnya di Universiti Taylor’s. (Gambar daripada Uni Enrol)

Tetapkan Hala Tuju Selepas Keputusan SPM Keluar

Pada peringkat ini, segala-galanya mula terasa lebih nyata. Mungkin pelajar sudah tetapkan bidang apa yang ingin dipelajari, atau masih meneliti pelbagai pilihan kursus sambil tertanya-tanya tentang maksud segala butiran yang dikemukakan. Walau apa pun, keputusan peperiksaan, bajet, dan minat anda akan menentukan hala tuju seterusnya.

Jika keputusan anda mengandungi gred G (Gagal), jangan berputus asa. Lihat artikel kami untuk mengetahui langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya gagal SPM. Selain itu, berikut adalah beberapa laluan utama yang boleh anda pertimbangkan selepas SPM.

Program Matrikulasi

Matrikulasi ialah program pra-universiti bertempoh satu hingga dua tahun dengan aliran meliputi bidang seperti sains, perakaunan, dan kejuruteraan. Memandangkan program ini mendapat subsidi yang besar daripada kerajaan Malaysia, laluan ini menjadi cara berpatutan sekiranya pelajar teringin memohon ke IPTA.

Namun, slot kemasukan adalah terhad. Walaupun keputusan yang diterima bagus, pelajar tidak dijamin mendapat tempat secara automatik. Permohonan dibuka secara berperingkat sebelum dan selepas keputusan SPM dikeluarkan.

STPM (Tingkatan 6)

Jika mencari laluan pra-universiti yang lebih tradisional, STPM memenuhi syarat tersebut. Program ini biasanya mengambil masa sekitar satu tahun setengah dan dijalankan di premis sekolah menengah. Dengan itu, pelajar boleh meneruskan pengajian dalam persekitaran sekolah yang sudah biasa untuk tempoh yang lebih lama.

Pecahan mata pelajaran aliran Sains dan Sastera STPM
Perincian mata pelajaran utama bagi aliran Sains dan Sastera yang ditawarkan di bawah kurikulum STPM. Imej daripada Instagram @navigatefuture

STPM dikenali sebagai satu program yang mencabar dari segi akademik, namun kelebihan utamanya ialah kelayakan ini diiktiraf secara meluas oleh IPTA di Malaysia mahupun universiti di luar negara. Kelayakan STPM memberikan fleksibiliti yang luas sekiranya pelajar masih belum memutuskan hala tuju pengajian.

Program Asasi IPTS

Program asasi merupakan kursus selama satu tahun di universiti swasta yang mempersiapkan anda untuk mengikuti program ijazah yang berkaitan. Secara umumnya, pelajar memerlukan minimum lima kepujian (Gred C dan ke atas) dalam peperiksaan SPM walaupun syarat sebenar bergantung pada tempat dan program yang dipohon.

Berbeza dengan STPM, program asasi lebih tertumpu kepada bidang khusus seperti sains, perniagaan, atau pengkomputeran. Pelajar perlu menentukan hala tuju pengajian lebih awal. Jika pelajar sudah mempunyai gambaran jelas tentang bidang yang ingin dipelajari, mengikuti program asasi akan mempercepatkan proses ke peringkat ijazah sarjana muda.

Program Diploma

Program diploma biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun dan lebih berorientasikan amali berbanding program asasi. Syarat kemasukan diploma juga lebih rendah berbanding program pra-universiti lain; jadi ini boleh menjadi salah satu pilihan bagi pelajar yang mendapat keputusan SPM yang tidak memenuhi syarat kursus yang dihajati. Program ini lazim ditawarkan dalam bidang seperti perniagaan, teknologi maklumat (IT), kejuruteraan, dan sains kesihatan.

Selain itu, pelajar boleh melanjutkan lagi pengajian selepas habis program diploma. Bergantung kepada kursus dan universiti, pelajar boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang yang berkaitan dengan pemindahan kredit. Sekiranya tidak mahu meneruskan ke peringkat seterusnya, pilihan untuk memulakan kerja juga tersedia kepada para pelajar.

Program Pra-universiti Antarabangsa

Jika anda bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, terdapat beberapa laluan pra-universiti yang boleh dipilih, antaranya termasuk A-Levels, AUSMAT, dan IB. Selain diiktiraf di peringkat antarabangsa, program-program ini juga boleh digunakan untuk kemasukan ke universiti tempatan.

Mata pelajaran yang ditawarkan, syarat kemasukan, dan tarikh pengambilan berbeza dari program ke program yang lain. Oleh itu, pastikan anda menyemak kelayakan yang diterima oleh kursus pilihan anda sebelum membuat keputusan. Jika anda sudah mempunyai negara atau universiti tertentu dalam fikiran, pra-universiti antarabangsa merupakan titik permulaan yang baik.

Carta perbandingan program pra-universiti antarabangsa
Perbezaan antara program pra-universiti.

Program Vokasional & TVET

Jika anda lebih gemar belajar melalui pengalaman praktikal berbanding duduk di dalam kelas, TVET wajar dipertimbangkan. Politeknik, kolej komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Mara (IKM), dan GIATMARA menawarkan latihan di peringkat sijil dan diploma dalam bidang-bidang seperti seni kulinari, automotif, elektrik, hospitaliti, dan media digital.

Terus Mulakan Kerja

Tiada penghalang bagi pelajar yang ingin mula bekerja selepas SPM jika belum bersedia untuk memilih kursus. Bidang peruncitan, makanan dan minuman (F&B), pentadbiran, khidmat pelanggan, serta program pelatih merupakan antara pilihan yang tersedia untuk lepasan SPM.

Selain memperoleh pendapatan, pelajar akan lebih memahami perkara yang digemari dan tidak gemari, malah mungkin menemui minat baharu yang sebelum ini tidak pernah difikirkan. Jika anda memutuskan untuk melanjutkan pelajaran, pengalaman kerja serta simpanan yang diperoleh dapat membantu menampung keperluan pengajian tersebut.

Ambil ‘Gap Year’

Ada pelajar lepasan SPM yang memikirkan peralihan terus daripada SPM ke alam persekolahan atau pengajian lain sesuatu yang tidak digemari. Setelah bersekolah 11 tahun berturut-turut, sekarang kena masuk sekolah terus? Mungkin ada yang tidak suka idea tersebut. Bagi yang ingin menangguhkan pembelajaran seterusnya, mereka boleh meluangkan masa untuk bekerja, mengembara, menghabiskan masa bersama keluarga, atau sekadar menikmati rehat yang secukupnya sebelum menentukan langkah seterusnya.

Tempoh rehat setahun (gap year) boleh memberikan anda ruang untuk bernafas. Perkara yang penting ialah memastikan tempoh tersebut mempunyai hala tuju yang terancang, supaya anda tidak membazirkan masa selama 12 bulan begitu sahaja.

Mendaki Gunung Kinabalu sebagai idea aktiviti semasa gap year
Satu pilihan untuk mereka yang suka aktiviti di luar: mendaki Gunung Kinabalu.

Melangkah Ke Bab Kehidupan Seterusnya

Bagi kebanyakan pelajar, ini mungkin keputusan besar pertama yang akan mengimpak masa depan. Anda mungkin sudah mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang ingin dilakukan, atau mungkin masih mencari sesuatu yang sesuai.

Bulan-bulan yang akan datang merupakan peluang untuk mengenali diri dengan lebih mendalam di luar bilik darjah. Cubalah perkara yang selama ini membuatkan anda tertanya-tanya, temui individu daripada pelbagai latar belakang, dan kekal terbuka terhadap peluang yang tidak dijangka. Apa pun pilihan anda, anda mempunyai masa untuk belajar, berkembang, dan mengubah haluan sepanjang perjalanan tersebut.